Sunday, January 14, 2007

Kronologi Banjir Besar Segamat

Pada 20 Disember 2006, jam 8.04 pagi.
Air yang telah mencecah ke Jambatan Utama di tengah bandar Segamat
Pada 20 Disember 2006 jam 8.05 pagi.
Paras air yang semakin menenggelami jambatan utama Segamat
Pada 21 Disember 2006 jam 10.30 pagi
Air semakin surut di dalam bandar
Pada 21 Disember 2006 jam 1.30 petang.
Mangsa banjir di dalam bandar telah kembali utk membersihkan kediaman.
21 Disember 2006 jam 1.05 petang
Kemusnahan di dalam bandar akibat banjir besar
KRONOLOGI BANJIR BESAR DI SEGAMAT

17hb Disember 2006 Bilik Gerakan Banjir di JPA3 Segamat telah dibuka apabila berlaku peningkatan air di Sungai Segamat. Hujan dilaporkan turun sepanjang hari dalam minggu ini.


18hb. Disember 2006 Paras air dilaporkan menghampiri paras berwaspada di pusat bacaan air Sungai Segamat Bandar. Hujan dilaporkan mencurah-curah turun di sepanjang hari sehingga ke malam.


19hb. Disember 2006 Pada jam 0700 atau 7.00 pagi, paras air berada pada bacaan 8.42 meter di pusat bacaan air Sg. Segamat Bandar. Paras bahaya Sg. Segamat Bandar ialah pada 9.31 meter.

Hujan dilaporkan turun mencurah-curah di sepanjang hari tersebut. Alatan komunikasi menggunakan repeater 9M4RSG disediakan di JPA3 sebagai persediaan menghadapi bencana. Kebanyakan rakan2 radio yang berada di kawasan Pekan Jabi, Taman Yayasan dan Bukit Siput serta Medoi telah mula berkumpul di JPA3 sebagai bantuan persiapan KOMUNIKASI untuk menghadapi banjir.

Jam 0930 atau 9.30 pagi, rakan2 Segamat telah bergegas ke rumah rakan SWAL di Jalan Maryani utk membantu beliau memunggah barangan ke tingkat atas kerana air telah memasuki halaman rumah.

Pemantauan bergerak dilakukan oleh rakan2 Segamat dari lokasi2 yang sering mengalami banjir dan disampaikan melalui 9M4RSG. Bermula dari Gemereh hingga ke Medoi dan Segamat Baru hingga ke Buloh Kasap, pemantauan serta keadaan lokasi2 tersebut disalurkan melalui 9M4RSG.

Jam 1200 atau 12.00 tengahari, paras air di Sg. Segamat Bandar telah mencecah ke paras bahaya iaitu 9.31 meter. Pada ketika ini, beberapa kawasan rendah di sepanjang sungai sekitar Kg. Jawa, Kg. Pogoh dan Kg. Tengah telah dibanjiri air. Pusat penempatan banjir di SK Agama Kg. Jawa di telah dibuka kepada mangsa2 banjir dari kawasan2 perumahan Kg. Jawa sehingga ke laluan menuju ke Felda Medoi.

Jam 1600 atau 4.00 petang, paras air di Sg. Segamat Bandar telah mencecah 10.09 meter. Laporan oleh SWAL di Kg. Padang Lalang mengatakan laluan penghubung Felda Medoi dan Kg. Jawa sudah tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Rakan SWAL ini juga memohon bantuan penyelamat ke lokasi beliau kerana terdapat lebihkurang 10 orang mangsa termasuk bayi yang berlindung di situ. Kenaikan air juga berlaku agak cepat dan tidak seperti banjir2 biasa.

Manakala pada ketika itu, air telah membanjiri kawasan taman2 perumahan di Kg. Jawa dan di sekitar taman2 perumahan di Kg. Abdullah.

Jam 1630 atau 4.30 petang, jalan Kenawar yang menghubungkan kawasan Segamat Baru dan Bandar Segamat telah dibanjiri air. Jalan ini hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.

Jam 2000 atau 8.00 malam, paras air di Sg. Segamat Bandar direkodkan pada 10.81 meter. Pergerakan air direkodkan naik anggaran lebih kurang 1 kaki dalam setiap masa 1 jam. Kenaikan air yang begitu mendadak berbanding biasa telah menyebabkan ramai penduduk yang sedang sibuk berpindah menjadi cemas. Keadaan ini diburukkan lagi oleh ketiadaan bekalan elektrik akibat stesen2 janakuasa yang ditutup.

Dalam masa 3 jam, keseluruhan kawasan kampung dan taman2 yg terletak di kawasan Kg. Jawa telah ditenggelami air melepasi anggaran 1 meter dari ketinggian jalan. Pada ketika ini juga, air dilaporkan membanjiri sehingga ke bandar Segamat.

Jam 2200 atau 10.00 malam, paras air di Sg. Segamat Bandar direkodkan pada paras 11.34 meter. Akibat limpahan air banjir yang tidak diduga ini telah menyebabkan ramai penduduk yang selama ini tidak pernah mengalami situasi sebegini terperangkap. Mangsa2 ini terperangkap di beberapa lokasi menuju ke pusat penempatan banjir serta kawasan yang lebih tinggi apabila laluan yang digunakan ditenggelami air dan sambungan elektrik yang diputuskan apabila paras air melepasi paras bahaya akibat kenaikan air yang mendadak.

Sehingga jam 2400 atau 12.00 tengah malam, paras air di Sg. Segamat Bandar berada pada ketinggian 11.74 meter. Ini diburukkan lagi oleh deretan kenderaan di atas jalan dan yang tidak sempat di bawa keluar oleh mangsa. Bot2 penyelamat juga mengalami kesukaran untuk menyelamatkan mangsa2 kerana pergerakan yang terhad oleh halangan dari kenderaan yg tenggelam serta arus aliran air yang kuat.

Laporan dari SWAL di pusat penempatan banjir di Kg. Jawa iaitu SK Agama Kg. Jawa dan SK Kg. Jawa mengatakan tingkat bawah kedua2 pusat tersebut telah dibanjiri air. Mangsa2 yang berada di situ telah bergerak memenuhi tingkat atas yang telah sedia penuh dengan mangsa2 sebelumnya. Keadaan dilaporkan penuh sesak dengan bilangan mangsa yang dianggarkan seramai 2500 orang.

Mangsa2 banjir yang berada di 2 buah pusat penempatan banjir di Kg. Jawa juga turut terperangkap apabila air banjir yang tidak diduga ini melimpah sehingga menenggelamkan hampir separuh tingkat satu bangunan di kedua2 pusat penempatan ini. Oleh kerana pusat2 penempatan banjir ini tiada menyediakan simpanan bekalan makanan, ramai mangsa2 banjir ini terutama yang membawa anak kecil terpaksa berlapar. Penyampaian maklumat mengenai jumlah mangsa dan keperluan pada ketika ini disalurkan melalui 9M4RSG oleh rakan SWAL.

20hb. Disember 2006, pada jam 0100 atau 1.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatatkan kenaikan sebanyak 11.90 meter. Berdasarkan dari laporan SWAL yang terperangkap di pusat tersebut, kebanyakan kawasan perumahan di Kg. Jawa telah ditenggelami oleh air anggaran 3 meter dari paras jalan. Manakala di dalam bandar, air dilaporkan berada pada anggaran 1 meter dari paras jalan. Ramai mangsa2 yang turut terperangkap di dalam bandar pada ketika ini.

SWAL di Jalan Tasik melaporkan, ketinggian air telah mencecah 3 meter dan mencecah bahagian atas lantai rumah 2 tingkat beliau. SWAL tersebut bersama keluarganya telah berjaya diselamatkan oleh bot penyelamat yang melalui kawasan rumah beliau. Mangsa telah dihantar ke pusat penempatan banjir di Kg. Jawa.

Jam 0200 atau 2.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatat kenaikan sebanyak 12.10 meter. Berpuluh-puluh mangsa yang terperangkap di satu lokasi tanah tinggi di dalam kebun getah di Kg. Tengah diselamatkan dengan menggunakan bot ATM. Keadaan air banjir yang dipenuhi oleh kayu2 serta kabel elektrik dari tiang yang hanya sekaki dari paras air menyebabkan operasi terpaksa dijalankan dengan penuh berhati2 .

Jam 0300 atau 3.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatat kenaikan sebanyak 12.20 meter. Laporan dari SWAL di Jalan Maryani melaporkan, tingkat bawah rumah 2 tingkat di situ telah dipenuhi air. Mangsa2 banjir yang terperangkap dari kawasan tersebut telah berlindung di tingkat bahagian atas rumah jiran2 mereka tanpa mengira agama dan kaum.

Jam 0400 atau 4.00 pagi 20hb, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatat kenaikan sebanyak 12.29 meter. Para penyelamat dari Jabatan2 Kerajaan masih bertungkus lumus tanpa menghiraukan keselamatan nyawa di dalam kegelapan dan situasi yang mencabar untuk menyelamatkan mangsa2 banjir yang telah terperangkap di kediaman masing2.

Jam 0600 atau 6.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatat ketinggian sebanyak 12.47 meter. Jambatan utama di tengah Bandar Segamat turut ditenggelami air.

Para penyelamat yang menggunakan bot juga menghadapi kesukaran apabila laluan yang digunakan untuk menghantar bantuan berarus laju. Berkat kegigihan para penyelamat, bantuan dapat disampaikan ke pusat2 penempatan banjir tersebut.

Jam 0800 atau 8.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatatkan ketinggian 12.57 meter. Operasi bantuan menyelamat serta menghantar barangan keperluan masih diteruskan dengan penggunaan helicopter. Bantuan sebagai penunjuk arah dilakukan oleh rakan Segamat dengan menggunakan helicopter ATM ke lokasi2 yang memerlukan bantuan segera.

Bacaan tertinggi paras air ialah pada jam 1200 atau 12.00 tengahari iaitu di paras 12.67 meter. Hampir keseluruhan bandar Segamat telah ditenggelami air pada ketika ini dan ekonomi bandar Segamat lumpuh sama sekali. Ini diburukkan lagi apabila semua laluan perhubungan menuju ke bandar Segamat terputus akibat banjir. Hanya satu laluan alternatif yang boleh dilalui oleh kenderaan iaitu melalui Seremban via Bukit Putus via Kuala Pilah via Bahau via Muazzam.

Pada jam 1700 atau 5 petang, paras air telah menurun kepada 12.40 meter. Bandar Segamat masih lagi ditenggelami oleh air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Bantuan ke bandar Segamat juga menghadapi kesukaran oleh kerana terdapat beberapa laluan yang telah dilimpahi air banjir. Bantuan pada ketika itu hanya boleh dilakukan melalui udara oleh unit helicopter bergerak.

Jam 2400 atau 12.00 tengah malam, bacaan paras air di Sg. Segamat Bandar semakin menurun ke paras 12.03 meter.

21hb. Disember 2006, jam 0500 atau 5.00 pagi, paras air di Sg. Segamat Bandar mencatatkan penurunan pada paras 11.68 meter. Pusat penempatan banjir di kawasan kampung Jawa iaitu SK Kg. Jawa dan SK Agama Kg. Jawa sudah boleh dimasuki oleh kenderaan berat selepas air mulai surut di sekitarnya. Mangsa2 banjir di sekitar Kg. Jawa masih belum pulang ke rumah kerana rumah2 disekitar kampung Jawa masih lagi ditenggelami air sedalam 1 meter.

Lebih kurang jam 0800 atau 8.00 pagi, paras air di dalam bandar Segamat serta taman2 perumahan yang berdekatan bandar juga telah surut.

Pada jam 1000 atau 10.00 pagi, para mangsa yang tinggal di dalam bandar telah mula kembali ke kediaman masing2 untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Menjelang jam 1300 atau 1.00 petang, air Sungai Segamat Bandar dilaporkan telah mulai surut tetapi masih di paras bahaya.Air dilaporkan semakin surut di sekitar Bandar Segamat menjelang tengahari.

Pada jam 1500 atau 3.00 petang, mangsa2 banjir di Kg. Jawa telah kembali semula ke kediaman masing2 untuk melakukan kerja2 pembersihan tetapi malangnya bekalan air belum dapat disalurkan kepada pengguna akibat stesen2 bekalan air yang telah rosak ketika banjir.

Ini mengakibatkan keadaan menjadi semakin kritikal kerana tiada bekalan air bersih. Suasana menjadi semakin kelam kabut apabila stok air mineral di kedai-kedai yang tidak tenggelam habis sama sekali. Keadaan ini diburukkan lagi oleh ketiadaan bekalan elektrik dan air akibat stesen2 janakuasa yang tenggelam serta rosak.

22hb. Disember 2006 Bekalan air kembali pulih semula di Segamat. Paras air di Sg. Segamat Bandar mencatatkan penurunan air di bawah paras bahaya.

23hb. Disember 2006, beberapa kawasan di Buloh Kasap dan Batu Anam dilaporkan dibanjiri air. Perhubungan menjadi agak sukar di sesetengah laluan akibat banjir. Pusat penempatan banjir telah dibuka di beberapa lokasi. Bantuan2 kepada mangsa2 banjir telah disalurkan melalui unit helicopter bergerak.




Banjir ke 2 kembali semula pada 12 Januari 2007 hingga 15 Januari 2007. Kali ini, banjir yang berlaku tidak menenggelamkan kawasan2 bandar kecuali di lokasi2 banjir seperti di Kg. Jawa dan kawasan2 rendah yg lain. Paras kenaikan air dicatatkan kurang dari seinci pada masa setiap 1 jam.



( Perhubungan di antara kawasan2 yang lain tidak dapat dilakukan kerana masalah laluan yang terputus. Kronologi ini adalah berdasarkan penumpuan terhadap kawasan yang paling mudah dilanda banjir dan paling padat dengan mangsa2 banjir oleh rakan yang bertugas )